Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-53 pada 31 Ogos ini. Ramai yang menganggap 53 sebagai tua dan ramai juga menganggapnya muda. Apa pun, saya sudah lama teringin menulis mengenai hal Melayu selepas 53 tahun merdeka, dan sebab itu juga saya hanya ingin menulis dalam Bahasa Malaysia. Jika ada Melayu yang tidak setuju dengan pendapat saya atau ada pandangan lebih baik, silalah tinggalkan komen atau e-mail saya. Ini semata-mata untuk 'mengusik' minda orang saya, bangsa saya sendiri - Melayu - agar kita sama-sama berfikir.
Sejak di bangku sekolah rendah, saya banyak bercampur dengan golongan lebih tua. Banyak perkara baik dan yang tidak baik saya timba daripada mereka. Abah saya, Hj Harun Abu Bakar, banyak menceritakan kisah zaman silamnya untuk dijadikan teladan kepada anak-cucu. Datuk, nenek, bapa saudara dan orang tua yang saya kenal (ramai yang sudah tiada) turut memberi pelbagai kisah suka-duka sebagai pengajaran dan ingatan untuk generasi akan datang. Antaranya: 1. Apabila kisah mengenai Felda muflis digembar-gemburkan oleh media massa dan blog, saya tertarik dengan cara Felda dibangunkan dan dijadikan sebuah perbadanan yang gah pada hari ini. Duit raya RM350 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas turut mencuri perhatian saya.
Ini kerana ramai yang mencemuh duit sebanyak itu. Manalah nak cukup menampung keperluan sebuah keluarga

peneroka yang makin besar hari ini, bukannya pada zaman mereka mula-mula jadi peneroka atau ketika anak masih seorang dua. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut 'chicken feed', maknanya cukup untuk beri ayam makan saja. Amat kecil dan tak bermakna langsung, kata mereka. Ada juga yang mengaitkannya dengan pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. Oleh kerana Felda diletakkan di bawah bidang kuasa Najib, maka beliau terpaksalah mengumpan peneroka.
Saya teringatkan kisah
jikiden atau
jiki-dan yang dilaksanakan oleh pemerintah Jepun kira-kira sebulan selepas menakluk Malaya pada Perang Dunia Kedua (diceritakan oleh abah saya). Tentera Jepun ketika itu memecahkan lot-lot tanah penduduk kampung dalam seekar sekeluarga dan mewajibkan mereka menanam apa saja seperti ubi, keledek dan sebagainya sebagai bahan makanan.
Tanah ini mestilah diusahakan bersungguh-sungguh dan mengikut jadual yang ditetapkan oleh pengawas yang dilantik oleh Jepun.
Antara tanaman wajib ketika itu ialah pokok jarak. Sesiapa yang ingkar pasti menerima hukuman. Buah jarak ini dikutip untuk diproses dan dijadikan minyak pesawat pejuang tentera Jepun. Ia amat baik dan berprestasi tinggi, mengikut kajian orang Jepun ketika itu.
Pokok dan buah jarak Malangnya, orang Melayu mengambil masa 53 tahun selepas merdeka untuk mengkaji produk biodiesel daripada pokok dan buah jarak ini. Hanya selepas tempoh itu saja orang Melayu mula terfikir untuk menguji dan menggunakannya sedangkan datuk-nenek mereka dahulu sudah menanam dan mellihat hasilnya. Orang Jepun pasti terkejut dengan 'kedunguan' Melayu ketika ini.
Memanglah Felda tidak diurus seperti
jikiden dan pokok jarak tidak pernah ditanam. Felda bermula dengan tanaman getah. Hanya selepas nilai getah di pasaran dunia merosot, ia diganti dengan tananam kelapa sawit secara besar-besaran hingga meliputi Sabah dan Sarawak. Bantuan kerajaan kepada peneroka Felda, Risda dan Felcra hari ini tidak dialami di zaman
jikiden tetapi pengurusan
Jikiden, pada hemat saya, lebih berkesan dalam memastikan 'pesertanya' benar-benar komited manakala hasilnya memuaskan.
Felda hari ini ditadbir sebagai perbadanan. Ia banyak membabitkan politik Melayu. Oleh kerana rata-rata penerokanya ialah Melayu, mereka perlu dijaga untuk kepentingan undi Umno khasnya dan Barisan Nasional umumnya. Tanggapan umum ialah, Felda patut diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Bagaimanapun, Najib mengambil tanggungjawab penuh ke atas Felda kerana ia banyak menyumbang kepada ekonomi Melayu dan negara, di samping fakta ia diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
Felda turut menjadi lombong emas Najib, kata pembangkang. Pembekal baja, pembekal benih sawit dan kontraktor yang terbabit dengan Felda semuanya perlu mendapat kelulusan Najib dan kebanyakan daripada mereka adalah mereka yang kenal dan dikenali Najib, kata mereka. Kerana itulah Najib meletakkan pejabat seranta dan korporat Felda di Jabatan Perdana Menteri agar ia berurusan terus dengan beliau. Misalnya, mana-mana syarikat yang ingin membekalkan baja kepada Felda perlu menulis surat permohonan terus kepada Perdana Menteri untuk perhatian. Benarkah?
Memang benar Felda tidak ditadbir secara
jikiden tetapi sampai bilakah hanya getah dan sawit saja boleh menentukan hala tuju Felda? Tak inginkah kita mencuba pokok jarak dan tananam lain pula? Ketika masalah sosial di kalangan generasi ketiga Felda makin parah, tidak adakah usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk menanganinya? Ketika keluarga Felda makin besar dan rumah mereka kian sempit untuk menampung sehingga dua atau tiga kelamin, cukupkah usaha yang dibuat setakat ini bagi mengatasi masalah perumahan mereka?
Kenapakah Felda dipolitikkan sedangkan ramai penerokanya masih tidak mampu membesarkan rumah atau membina rumah baru untuk generasi kedua dan ketiga mereka? Logikkah syarat perumahan yang dikenakan bagi melayakkan mereka mendapatkan pinjaman institusi kewangan bagi membiayai rumah baru? Tahukah Felda dan kerajaan bahawa masih ramai peneroka masih kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang atau 'kais pagi, makan malam'?
2. Suatu ketika dahulu, ada cadangan menubuhkan Lembaga Daging Malaysia. Sistem lembu pawah amat popular ketika itu kerana ia turut membantu bekalan daging negara. Malangnya, ia terbantut begitu saja kerana sistem pengurusan yang lemah dan pesertanya pula (kebanyakannnya Melayu) kurang pengetahuan mengenai bidang penternakan ladang dan dalam melawan penyakit binatang.
Lembaga Daging tidak jadi kenyataan. Akibatnya, Malaysia masih terus mengimport daging dan susu lembu dengan banyaknya dari Australia, New Zealand dan negara lain. Pembekal tempatan hanya mampu menyumbang tidak sampai lima peratus kepada keperluan negara. Isu gagalnya penubuhan Lembaga ini banyak dikaitkan dengan politik, kononnya ada pihak yang menghasut kerajaan ketika itu agar melupakan saja hasrat berkenaan dan sebaliknya mengaut laba daripada import yang mereka luluskan.
Akan jadi janggalkah jika peserta Felda hari ini diberi kelonggaran menternak lembu secara besar-besaran? Dalam pengetahuan saya, sebuah ladang ternak lembu tenusu di Jengka mampu menyumbang kepada keperluan produk tempatan walaupun tidak sampai 3 peratus tetapi perusahaan itu turut menjadi mangsa politik agensi kerajaan. Karenah birokrasi yang tidak difahami hujung-pangkalnya sering mencemaskan pengusahanya. Di suatu ketika, hasil tenusunya tidak dapat dijual kerana agensi terbabit gagal mendapat hasil memuaskan daripada ujiannya yang turut pincang. Hanya selepas ujian sebenar dibuat, barulah produk berkenaan disahkan bersih dan berkhasiat.
Selepas 53 tahun merdeka, kita masih gagal memenuhi walaupun separuh daripada keperluan daging dan produk tenusu tempatan, sedangkan ia boleh dan mudah dilaksanakan jika tidak kerana politik sesetengah pihak, terutamanya pemimpin dan pegawai Melayu yang tamak haloba. Hanya selepas 53 tahun merdeka dan 65 tahun Jepun meninggalkan Malaya, barulah ada kesedaran untuk berpaling ke belakang. Malangnya, dalam arus kemodenan politik dan sosio-ekonomi yang menjurus kepada pembangunan industri, kita sebenarnya lupa bahawa banyak wang dibelanjakan untuk benda tertentu yang kosnya boleh diselamatkan jika ia dibuat di sini.
3. Saya tidak pasti sama ada getah yang pernah ditanam di kawasan Felda, Risda dan Felcra adalah dari benih bermutu tinggi. Dari apa yang saya dengar sejak kecil, ketika tanaman getah mula diperkenalkan di negara ini, kawasan Perang Besar yang kini 'dijajah' oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pernah menjadi tempat semaian dan pemilihan biji getah mengikut grednya. Mengikut cerita, tauke Cina yang kaya ketika itu mampu membeli benih jenis TG1 bermutu tinggi yang pokoknya tumbuh dengan baik, kulitnya cantik dan susu getahnya banyak.
Orang Melayu yang kekurangan wang pula diberikan benih TG3 atau TG4 yang kulit pokoknya menggerutu manakala hasil susunya kurang memuaskan serta hanya mampu ditoreh untuk 10 tahun sebelum ditebang kerana 'monopos'. Ketika pokok getah milik Tan Cheng Lok ketika itu mampu mengeluarkan hasil selama 15-20 tahun, pokok milik orang Melayu terpaksa ditinggalkan atau ditanam semula selepas 8-10 tahun. Estet getah yang ditadbir oleh Mat Salleh ketika itu turut menggunakan benih TG1 atau TG2.
Pembeli dan peraih getah ketika itu turut dimonopoli oleh orang Cina. Orang India ketika itu kebanyakannya bekerja dan tinggal di perumahan estet getah manakala orang Melayu sama ada menoreh getah sendiri seluas seekar dua, yang lain menanam padi atau menyertai perkhidmatan kerajaan seperti polis, tentera dan pentadbiran.
Sayang, hari ini, orang Melayu mudah menuding jari ke arah bangsa Cina, India dan yang lain kerana membolot apa yang seharusnya menjadi milik mereka. Mereka makin tidak puas hati apabila bangsa lain menguasai banyak bidang ekonomi dan kurang menyumbang dalam membantu meningkatkan pula ekonomi orang Melayu. Mereka marah apabila bangsa lain mula mempersoalkan ketuanan Melayu dalam konteks 1Malaysia sehingga mendorong mereka menubuhkan persatuan dan pertubuhan berjiwa Melayu bagi membela dan mempertahankan hak orang Melayu.
Barulah hari ini wujud kesedaran agar orang Melayu yang semuanya beragama Islam, bersatu dan merapatkan jurang ideologi dan politik mereka. Barulah hari ini mereka sedar akan kelemahan berpuak-puak dan berpecah belah sesama sendiri. Hanya selepas 53 tahun merdeka, barulah orang Melayu mula mengukur tahap mundur-maju mereka.
Saya tidak tahu ukuran apakah yang orang kita gunakan. Terserahlah kepada penilaian pemimpin dan individu Melayu itu sendiri. Tetapi baru pagi tadi saya melihat satu daripada banyak ukuran yang ada - kira-kira 15 tahun lalu hanya orang India saja yang bekerja di atas lori sampah tetapi hari ini, hanya orang Melayu saja yang saya lihat bekerja mengutip sampah; tidak ada lagi orang India!
Memang orang Melayu perlu menguasai bidang-bidang yang belum pernah mereka kuasai suatu masa dahulu! Yang ada pada mereka sejak dahulu ialah kekuatan politik... itu pun nampaknya makin lemah!